Berita Utama

Agenda, sikap pemimpin BN, PN tiada beza?

Parti BERJASA tidak terikat dengan mana-mana kuasa kapitalis

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Jamadilawal 1442H, Isnin – Baik Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN), pada hakikatnya kedua-dua tidak mempunyai perbezaan ketara daripada sudut agenda dan sikap pemimpin.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, mereka semua membawa agenda parti dengan bertongkat kepada slogan rakyat dan agama.

Bahkan, katanya lagi, mereka juga mempunyai sifat parti yang membawa agenda di mana mereka memerlukan sokongan parti lain – seperti sokongan MIC dan MCA.

“Apabila bercakap tentang sokongan parti lain ini, ia ada dua sahaja iaitu sokongan daripada penyokong dan sokongan dana kewangan. Saya tidak nampak sokongan penyokong MCA. Ini kerana parti MCA adalah sebuah parti yang sudah lama ditolak oleh kaum Cina. 

“Hakikatnya, ia wujud tidak lebih daripada sekadar hendak bertanding di kawasan majoriti Melayu supaya calonnya menang atau mereka berjaya memenangkan calon DAP di kawasan tersebut.

“Saya berpendapat, MCA terus diangkat dalam kerajaan bukan kerana MCA itu parti yang kuat penyokongnya tetapi tentu ada sesuatu yang sangat diharapkan oleh kerajaan yang ada kepada MCA,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Selain itu, Ustaz Zamani berpandangan, PN tidak ada keberanian untuk membawa agenda Melayu, berbeza dengan MCA dan DAP yang lantang bersuara bagi pihak kaum Cina. 

“Misalnya, dapat kita lihat DAP yang bersungguh menyatakan kekecewaannya terhadap keputusan mahkamah berkaitan kes 204 pencerobohan haram tanah di Raub. Tetapi di mana PN?,” soalnya.

Justeru, beliau menegaskan, BERJASA mengambil posisi untuk menjadi parti pilihan rakyat yang menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri perjuangan. 

“Watan ini mesti dibangunkan dan didaulatkan. BERJASA adalah parti yang tidak terikat dengan mana-mana kuasa kapitalis.

“Oleh itu, mulut BERJASA terus mampu bercakap tentang agenda watan tanpa perlu segan dengan mana-mana parti yang ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button