Tarbiyah

Berpoligami biar penuh tanggungjawab

Jangan mulakan ibadah perkahwinan dengan pengkhianatan

1. PARA suami yang ingin berpoligami, hendaklah mereka melaksanakan ibadah nikah ini dengan penuh tanggungjawab. Jangan mulakan ibadah perkahwinan ini dengan pengkhianatan sama ada menipu dokumen atau memalsukan tandatangan.
2. Sesungguhnya perkahwinan adalah sebuah ibadah dalam Islam. Rasulullah pernah mengingatkan kita agar bertakwa dan takut kepada Allah dalam urusan yang melibatkan isteri-isteri kita. Sabda Rasulullah:
إتَّقُوا اللَّهَ في النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ
“Bertakwalah kamu kepada Allah dalam urusan isteri-isteri kamu. ٍSesungguhnya kamu mengambil mereka dengan keamanan dari Allah dan kamu menghalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah.” (HR Muslim)
3. Ketika menghuraikan maksud hadis ini, al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “kamu menghalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah” adalah kerana Allah telah memerintahkan kaum muslimin agar berkahwin. Perintah syariat ini atau kalimah Allah ini direkodkan dalam al-Quran yang menyebutkan:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً
“Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja..” (Surah al-Nisa: 3)
4. Dengan itu, andai kita sedang berhasrat untuk melaksanakan ibadah nikah, mengapa tergamak kita menipu dan memalsukan dokumen dalam urusan ibadah yang disyariatkan oleh Allah.
5. Tindakan sebegini dibimbangi menyebabkan seseorang berlaku zalim pada isteri atau mereka yang terlibat. Isu dan permasalahan sebegini telah lama dibincangkan oleh Persatuan Wanita Muslimah WAFIQ (The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education).
6. Dipimpin oleh Prof Madya Dr. Rafidah Hanim, WAFIQ telah banyak menjalankan aktiviti bagi memperkasa wanita selaras dengan kedudukan wanita yang diangkat tinggi dalam Islam.
Isu-isu permasalahan wanita dan kekeluargaan serta khidmat nasihat turut diadakan. Mereka yang berminat untuk menyertai program WAFIQ atau mendapatkan khidmat nasihat boleh hubungi WAFIQ di Page Facebook WAFIQ di alamat di bawah:
https://www.facebook.com/WAFIQMALAYSIA
Semoga Allah membimbing kita.
Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button