Pendapat

Bodek? Selagi ada mentaliti kelas ke-3 kita takkan maju

Mentaliti kelas dunia pertama adalah berani tegur kerana benar

APABILA seorang menteri jatuh basikal kerana terlanggar lubang kecil (pothole), cedera sikit, secepat kilat, permohonan maaf dihulurkan. Tidak lama selepas itu, tindakan segera, menampal jalan tersebut.

Berapa ramai rakyat marhaen yang jatuh, cedera, ada yang meninggal kerana tidak nampak ‘pothole’ tersebut, terutama ketika musim hujan, bila mana ‘pothole’ ditutupi air.

Nasihat saya kepada agensi kerajaan tersebut, selagi kerja membodek menteri (bos) ini tidak dihentikan selagi itulah kita tak akan ke mana-mana.

Percayalah. Ini mentaliti kelas dunia ketiga.

Mentaliti kelas dunia pertama, berani menegur kerana benar, bukan bodek. Saya puji netizen dalam hal ini, bukan JKR, walaupun JKR telah menampal jalan tersebut sepantas kilat.

Akibat insiden tersebut, rata-rata netizen mempersoalkan tindakan jabatan kerajaan dalam memberi maklum balas pantas bersabit aduan kerosakan jalan.

“JKR Kuala Langat memohon maaf ke atas kejadian yang menimpa YB Menteri dan akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh,”.

Hebat JKR dalam memberikan respon dan tindakan bila kena pada menteri.

Namun, bila kena pada rakyat, ini komen netizen

“Tudia bila tang menteri jatuh terseret sikit laju minta maaf, kami yang marhaen ni hari-hari ngadap pothole sampai dah jadi asam garam hangpa buat dang ja. Sekian luahan hati yang lama terbuku,” salah satu komen padu.

Malah, ada juga di antara netizen yang memuat naik gambar jalan rosak di kawasan perumahan masing-masing, mengharapkan tindakan segera daripada JKR.

Tidak kurang juga, ada yang memuat naik gambar kecederaan yang dialami masing-masing gara-gara kemalangan yang berpunca daripada jalan rosak.

Tidak kurang mendoakan agar ada menteri jatuh lagi, agar jalan di kawasan mereka dapat diperbaiki.

Sedar atau tidak, cuba buat kajian berapa ramai rakyat marhaen yang cedera, yang meninggal dunia kerana terlanggar ‘potholes’ terutama ketika hujan.

Wahai JKR dan PBT, saya ingin cadangkan, setiap hari, bawalah satu lori tar untuk tampal jalan-jalan yang berlubang ini. Lalui jalan raya dan lorong-lorong jalan, demi keselamatan dan nyawa rakyat, barulah betul tag line JKR – Jasa Kepada Rakyat.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button