Berita Utama

Ceroboh tanah: Kerajaan ‘double standard’ jika tak bertegas

Bila mahkamah sebelahi kerajaan maka penceroboh tak punya hak tuntut pampasan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Jamadilawal 1442H, Isnin – Operasi penguatkuasaan pengosongan tanah yang diceroboh untuk menanam pokok durian Musang King sekitar daerah Raub, Pahang oleh kerajaan negeri bukan suatu perkara baharu.

Jika dilihat daripada segi perundangan, sekiranya berlaku pencerobohan tanah milik kerajaan maka pihak berkuasa akan mengeluarkan notis pengosongan, dan jika ingkar tindakan merobohkan kawasan atau premis boleh diambil.

Namun yang menimbulkan persoalan adalah sama ada kerajaan akan menuntut ganti rugi semula terhadap tanah-tanah yang diteroka secara haram itu.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, jarang didengari kerajaan menuntut ganti rugi semula terhadap tanah-tanah yang diteroka secara haram.

Ini kerana mungkin jika kerajaan berbuat sedemikian dibimbangi akan menimbulkan lebih banyak polemik di dalam masyarakat sendiri, katanya.

“Dan mungkin itu akan menimbulkan satu keadaan yang tidak selesa di antara masyarakat dengan kerajaan.

“Jadi bagi saya notis mengosongkan premis atau tanah itu merupakan satu tindakan yang biasa dibuat dan ia adalah selari dengan tindakan-tindakan kerajaan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri Pahang akan dikatakan ‘double standard’ sekiranya tidak mengambil tindakan tegas terhadap peneroka, Prof Ahmad Martadha yakin mungkin akan ada persepsi sedemikian.

“Kes di mana peneroka ataupun individu (menceroboh) dikenakan penjara dan denda memang ada dalam peruntukan tetapi bagi saya ini semua terletak kepada budi bicara kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, dalam keadaan yang berlaku di Raub, untuk kerajaan mengambil tindakan mungkin akan menimbulkan lebih banyak polemik pada masa kelak terutamanya apabila ia melibatkan jumlah yang besar peneroka haram.

Bahkan beliau yakin jika diambil tindakan maka ia akan mencetuskan lebih banyak konflik.

“Melalui notis pengusiran dan apabila mahkamah sendiri menyetujui tindakan kerajaan maka ia secara tidak langsung memberikan satu kemenangan kepada kerajaan dan menyebabkan pihak peneroka-peneroka perlu akur.

“…dan apabila mahkamah menyebelahi kerajaan maka secara tidak langsung peneroka tidak lagi mempunyai apa-apa hak sama ada mereka ini ingin menuntut pampasan daripada kerajaan atau ingin meneruskan penerokaan di tanah-tanah walaupun secara haram,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button