Berita Utama

Pinda Akta DBP, beri kuasa ambil tindakan lindungi bahasa Melayu

Hormati ketuanan Jawi antara 9 tuntutan ISMA kepada kerajaan

BANGI, 1 Muharram 1442H, Khamis – Bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-63 tahun ini, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyenaraikan sembilan tuntutan kepada kerajaan Malaysia untuk dipertimbang serta diperhalusi.

Tuntutan yang julung kali dilancarkan itu mempunyai matlamat akhir iaitu memperkukuh kedudukan bahasa Melayu, selain memartabatkannya sebagai asas perpaduan di negara ini.

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya yang mengemukakan tuntutan itu dalam sidang media hari ini merayu, pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Pindaan 1995) dijadikan kenyataan agar agensi berkenaan memperoleh punca kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan.

DBP juga, tegas beliau, perlu dihormati sebagai benteng peradaban negara seperti kata bekas Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj: “Negara tanpa bahasa kebangsaan ibarat jasad tanpa roh.”

“Saya menyeru semua lapisan masyarakat dan kepimpinan negara dari pelbagai bangsa dan agama agar menjunjung tinggi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Selain itu, Haji Aminuddin menuntut kerajaan mengembalikan nama asal Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Beliau juga berharap agar kerajaan mewajibkan warga asing yang memohon kewarganegaraan untuk fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

“Penguatkuasaan tegas terhadap nama bangunan, kawasan perumahan, bandar, pengiklanan yang masih menayangkan citra asing. Mewujudkan rancangan dan filem luar yang telah dialih kepada bahasa Melayu, serta menekankan bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular.

“Seterusnya kami tuntut menghormati ‘ketuanan’ tulisan Jawi sebagai satu daripada tulisan bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mengekalkan pengajaran mata pelajaran berasaskan Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu,” katanya.

9 tuntutan ISMA sempena hari kemerdekaan:

– Tukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka

– Wajibkan kepada warga asing yang memohon kewarganegaraan untuk fasih bertutur bahasa Melayu

– Penguatkuasaan tegas terhadap nama bangunan, kawasan perumahan, bandar, pengiklanan yang masih menayangkan citra asing

– Mewujudkan rancangan dan filem luar yang telah dialih kepada bahasa Melayu

– Menekankan bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular

– Menghormati ‘ketuanan’ tulisan Jawi sebagai satu daripada tulisan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

– Kekalkan pengajaran mata pelajaran berasaskan Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu

– Pindaan Akta DBP 1959 (Pindaan 1995) perlu dijadikan kenyataan agar DBP memperoleh punca kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan

– DBP juga perlu dihormati sebagai benteng peradaban negara

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button