Berita Utama

Segera tubuh RCI siasat dalang daging cop halal palsu

Dosa berat ditanggung pesalah biarkan umat Islam makan daging haram

BANGI, 13 Jamadilawal 1442H, Isnin – Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk membawa pesalah-pesalah yang terbabit dalam kes penyeludupan daging sejuk beku menggunakan logo halal palsu ke muka pengadilan, kata Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil. 

Menyifatkan bahawa isu ini adalah sesuatu yang amat serius, beliau menegaskan bahawa pesalah-pesalah berkenaan sama sekali tidak boleh terlepas begitu sahaja. 

“Saya tidak mahu makan daging yang tidak halal kerana ianya akan menjadi darah daging, samalah sebabnya kenapa selama 20 tahun saya bekerja dengan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, saya tidak pernah makan rasuah kerana ianya juga akan menjadi darah daging.

“… dan jika kita memberi anak dan isteri kita makan makanan yang tidak halal, ia akan menjadi darah daging mereka juga. Saya tidak akan benarkan ini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasti kebanyakan umat Islam di Malaysia juga berpendirian begini berkenaan daging tidak halal.

“Mereka juga tidak mahu makan dan memberi makan anak isteri mereka dengan daging yang tidak halal yang akan menjadi darah daging mereka.

“Sebab itu isu daging yang dicampur dengan daging tidak halal ini adalah amat serius,” kata Isham yang juga merupakan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor.

Sehubungan itu, Isham menegaskan, mana-mana pihak yang bertanggungjawab membenarkan perkara ini berlaku lebih-lebih lagi jika mereka mendapat keuntungan atau rasuah daripadanya menanggung dosa berat.

Ini kerana, katanya, mereka telah menyebabkan berjuta-juta umat Islam di Malaysia selama bertahun-tahun secara tidak sengaja makan daging yang tidak halal atau haram.

“Di akhirat kelak mereka yang tidak bertanggungjawab ini perlu menjawab perkara ini dengan Allah SWT.

“Dan untuk mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku lagi, perlu dilaksanakan siasatan supaya pesalah yang tidak bertanggungjawab ini dibawa ke muka pengadilan di dunia ini juga,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button