Berita Utama

Ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM14 juta dirampas

Polis tahan dua beradik lelaki, sepasang suami isteri

GEORGE TOWN, 13 Jamadilawal 1442H, Isnin – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket memproses ubat-ubatan tidak berdaftar selepas menahan dua beradik lelaki dan sepasang suami isteri serta merampas pelbagai jenis ubat bernilai RM14 juta dalam dua serbuan di Bukit Mertajam dan Butterworth, dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, operasi khas antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Pulau Pinang menjalankan serbuan pertama di sebuah kilang di Taman Perindustrian Machang Indah, Bukit Mertajam pada 10 pagi.

“Dalam serbuan itu, polis menahan tiga individu tempatan termasuk sepasang suami isteri di kilang tersebut dan pemeriksaan mendapati kilang berkenaan memproses pil serta ubat-ubatan yang tidak berdaftar di situ. Pihak JKNPP merampas 22 jenis ubat bernilai RM2 juta.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah lagi kedai di Taman Kencana, Butterworth kerana menjalankan kegiatan sama dan menahan seorang lelaki.

“JKNPP merampas 156,777 botol pelbagai jenama ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM12 juta,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNPP Arnie Fadzilah di sini hari ini.

Sahabudin berkata, siasatan mendapati sindiket itu telah menjalankan kegiatan itu di kedua-dua lokasi sejak awal tahun ini serta memasarkan produk mereka di seluruh negara dan luar negara.

“Dalam serbuan pertama kami menahan seorang lelaki (suspek pertama) berusia 48 tahun yang merupakan penyewa kilang dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan pasangan suami isteri berusia 44 serta 48 tahun yang merupakan pekerja di situ.

‚ÄúDalam serbuan kedua, seorang lelaki berusia 50 tahun iaitu abang kepada suspek pertama, ditahan yang memiliki satu rekod lampau,” katanya.

Sahabudin berkata, pihaknya berjaya membongkar kegiatan sindiket itu selepas melakukan intipan serta risikan sejak beberapa minggu lepas kerana mengesyaki terdapat kegiatan memproses dadah di kilang tersebut.

“Namun hasil serbuan kami mendapati kilang itu menjalankan kegiatan memproses ubat-ubatan tidak berdaftar dan semua empat individu dibebaskan pada hari sama setelah pihak JKNPP mengambil keterangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Arnie berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ubat-ubatan tidak berdaftar itu dipercayai untuk menaikkan berat badan dan dijual di kedai-kedai ubat Cina di seluruh negara melalui platform e-dagang untuk pasaran di Vietnam.

“Ubat-ubatan tradisional itu tidak berdaftar malah pemeriksaan kami juga mendapati kilang tersebut turut tidak mempunyai lesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan untuk memproses ubat-ubatan.

“Semua ubat itu sebenarnya sangat berbahaya kerana mampu merosakkan buah pinggang kerana mengandungi bahan tidak terkawal seperti steroid,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button