Berita Utama

Haji: TH belum ada makluman rasmi dari Arab Saudi

Usah terpengaruh maklumat tular berkait ibadah haji 2021M/1442H

BANGI, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkaitan dengan urusan ibadah haji untuk tahun 2021M/1442H dari pihak berkuasa Arab Saudi.

Bagaimanapun, satu mesyuarat dengan Menteri Haji dan Menteri Agama Arab Saudi dijangka diadakan pada awal tahun hadapan.

Keputusan perbincangan dan kesepakatan yang diambil oleh kedua-dua negara berkaitan ibadah haji akan diumumkan kelak, kata Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Sehubungan itu, TH menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana maklumat berkaitan pelaksanaan ibadah haji yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Mesej dipercayai tular selepas Muzakarah Haji yang telah diadakan secara dalam talian (webinar) selama tiga hari bermula 21 Disember 2020 yang lalu.

“Sementara itu, TH menyarankan orang ramai agar jangan mudah mempercayai segala maklumat mengenai haji yang ditularkan merujuk hanya kepada TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan rasmi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-62071919.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button