Berita Utama

Insafi isu kartel daging seludup, Jakim wujud pelan tindakan

SOP terbaru dengan tambah baik sedia ada dimuktamad Januari depan

BANGI, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) wujudkan pelan tindakan bagi menangani isu penyeludupan daging haram di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, tindakan segera telah dan sedang diambil oleh jabatan itu, susulan menginsafi isu daging import yang berlaku ketika ini.

Ia termasuklah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Lawatan ke rumah sembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus digiatkan.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaru dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Jakim berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, selain menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dibuat agar tiada lagi isu terkait penyeludupan daging haram serta tidak berlogo yang diiktiraf, katanya.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button