Berita Utama

Kerajaan setuju tubuh RCI siasat isu kartel daging haram

Menteri agama sambut baik jawatankuasa penguatkuasaan halal KPDNHEP

BANGI, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyambut baik hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal.

Dr Zulkifli berkata, jawatankuasa yang juga dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) itu adalah untuk menyelaraskan tindakan serta isu berkaitan halal.

“Semoga hasrat yang murni ini dipermudahkan Allah SWT demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

“Terima kasih kepada umat Islam di Malaysia kerana terus teguh meyakini kualiti dan standard Halal Jakim yang telah diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Cakna terhadap isu pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram, beliau berkata, Jakim telah membentangkan pelan tindakan yang sedang dan akan dilaksanakan dalam ruang lingkup bidang kuasa jabatan itu.

“Saya dan Jakim telah mengambil inisiatif mengadakan beberapa lawatan ke Al-Hilal Food Processing Sdn Bhd, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan HS Nada Sdn Bhd pada 28 dan 29 Disember 2020 bagi pemantauan berkala.

“Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik.

“Bagi produk daging import, Jakim akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar Negara mematuhi semua standard yang telah ditetapkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button