Berita Utama

Pemansuhan GST jejas pendapatan negara

Hasil berkurangan apabila sistem cukai digantikan dengan SST

KUALA LUMPUR, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan negara.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abd Rahim Bakri berkata hasil pendapatan negara berkurangan apabila cukai itu dihapuskan dan digantikan dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“GST telah diperkenalkan pada 2015, sebelum ia dimansuhkan pada 2018 dan keputusan pemansuhan (GST) itu adalah keputusan kerajaan ketika itu.

“Apabila kita melihat kepada data, pungutan cukai GST adalah sebanyak RM44 bilion setahun dan total ketika pelaksanaannya ialah RM133.1 bilion manakala cukai SST hanya RM21 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata pungutan cukai GST lebih besar berikutan cukai itu merupakan sistem percukaian lebih menyeluruh iaitu dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat, berbanding SST yang disifatkan cukai seperingkat dan secara amnya dikenakan ke atas pihak pengilang.

“Menerusi pelaksanaan GST, kira-kira 597,000 orang yang berdaftar (menggunakan sistem percukaian ini) manakala SST hanya 46,519 yang berdaftar.

‘’… dan barangan yang dikenakan cukai untuk GST pula adalah sebanyak 12,000 jenis barang manakala SST hanya 6,000 barang,” katanya.

Abd Rahim turut mengakui terdapat kelemahan ketika pelaksanaan GST dan secara tidak langsung telah memberi kesan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan akan melihat pandangan dan penerimaan semua pihak termasuk rakyat sebelum menimbang untuk melaksanakan GST semula. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button