Berita Utama

PH terbuka bekerjasama dengan parti lain

Tetapi tak harus bawa agenda peribadi atau teruskan ‘kebobrokan’ lama

SHAH ALAM, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana ahli politik termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad asalkan patuh kepada prinsip gabungan parti itu.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mana-mana pihak yang diundang untuk bekerjasama dengan pakatan berkenaan tidak harus membawa agenda peribadi atau meneruskan ‘kebobrokan’ lama mereka.

“Itu terserah kepada PH (mengundang Dr Mahathir menyertai PH). Siapa pun kita boleh undang tapi (perlu) patuh kepada prinsip gabungan PH,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku ‘100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008-2011’, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada perancangan PH untuk mewujudkan gabungan besar politik pembangkang akan melibatkan penyertaan Dr Mahathir dan parti lain.

“Ini perkara pokok harus kita tangani… apakah perubahan yang kita usulkan mampu beri keyakinan kepada rakyat bahawa kita lebih serius untuk menyelesaikan masalah pemacuan ekonomi, keadilan bagi rakyat dan mengatasi masalah kemiskinan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button