Berita UtamaIstimewa

Segerakan! NGO lapor polis, tuntut siasat isu kartel daging haram

Tarik balik semua produk sejuk beku import dalam pasaran Malaysia

BANGI, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Pihak berkuasa digesa menyiasat segera syarikat yang terlibat dalam isu kartel daging haram, termasuk mendedahkan nama serta jenama produknya.

Gesaan itu disuarakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Islam selepas laporan polis dibuat berkaitan isu terbabit hari ini.

Terdahulu, Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) bersama gabungan NGO lain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, bagi menuntut siasatan segera terhadap isu itu.

Pengerusi Amal Sejagat, Cikgu Izzat Johari berkata, selain siasatan, pihaknya juga menuntut kerajaan Malaysia menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mendedahkan pemilik syarikat dan jenama produk yang terlibat dalam memalsukan logo halal daging sejuk beku import ke negara ini.

Beliau turut menuntut pihak berkuasa segera menarik balik semua produk sejuk beku import yang berada di pasaran Malaysia.

“Kami tuntut untuk menteri agama melaksanakan segera RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dan bukannya masa mencadang. Tubuh jawatankuasa RCI segera.

“Kami menggesa SPRM untuk menahan semua pegawai penguatkuasa di kalangan Kastam, Maqis, Jakim dan KPDNHEP yang terlibat sepanjang lapan tahun kebelakang berkenaan kelulusan kebenaran memasarkan daging beku import,” katanya.

Izzat berkata, pihaknya memandang serius dalam isu halal haram makanan harian umat Islam, khususnya di negara ini.

Semalam, dilaporkan bahawa kerajaan memberi komitmen akan menangani isu pengimportan daging yang diragui secepat mungkin termasuk menimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasatnya.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button