Berita Utama

Syarikat palsu logo halal daging haram didakwa di mahkamah esok

Menafikan dakwaan kerajaan cuba melindungi pihak, syarikat terlibat

KUALA LUMPUR, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Sebuah syarikat yang didapati terlibat dalam pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram, akan didakwa di mahkamah esok, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Menurut beliau, tindakan itu sekali gus menafikan dakwaan sebelum ini bahawa kerajaan cuba melindungi pihak dan syarikat yang terlibat, dalam perkara yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Bukan kita tidak mahu mendedahkan syarikat yang terlibat, namun masalahnya perkara ini dilakukan oleh sebuah syarikat pengumpul daging, yang kemudiannya menggunakan logo syarikat lain (mangsa) yang terkenal dan mempunyai permintaan tinggi untuk memasarkan produk itu.

“Kalau kita mendedahkan nama syarikat yang jadi mangsa itu, ia akan mencalarkan imej syarikat berkenaan sedangkan itu bukan salah mereka,” katanya pada sesi penggulungan usul kartel daging haram yang dikemukakan oleh Senator Asmak Husin.

Lebih sembilan orang Senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan isu itu, selepas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim membenarkan usul itu dibahaskan mengikut Peraturan 17 (1).

Rosol menjelaskan kerajaan tidak pernah memandang remeh berkenaan isu itu dan telah melakukan beberapa tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

Jelasnya ia termasuk langkah membeku aset syarikat itu yang bernilai RM1 juta, merampas 24 rubber stamp syarikat-syarikat jenama yang mempunyai permintaan tinggi, menyita 5,000 keping pelekat halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan 2,428 kotak daging beku yang dianggar bernilai RM738,640.

Pada masa yang sama, beliau turut menafikan laporan yang mengatakan bahawa aktiviti kartel daging haram itu telah berlaku hampir 40 tahun.

“Tidak benar perkara ini telah berlaku hampir 40 tahun, sebab siasatan kementerian mendapati, syarikat terlibat baharu mendaftar pada 2014 dan memperoleh lesen untuk mengimport produk sejuk beku pada 2017.

“Pada masa yang sama ujian Jabatan Kimia terhadap sampel daging beku yang diambil daripada gudang simpanan itu mengesahkan, ia bukan daging kuda, kangaroo serta babi, dan ini memberikan kelegaan kepada kita,” katanya.

Untuk mengelak perkara yang sama berlaku pada hadapan, Rosol memaklumkan kementerian telah menubuhkan sebuah jawatankuasa perundangan dan penguatkuasa halal, bagi menyelaras tindakan dan isu penguatkuasaan halal dalam negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button