Berita Utama

UMNO, PAS berpisah beri peluang PH kembali memerintah?

PH untung sebab undi pecah, 3 penjuru beri mereka kelebihan

KUALA LUMPUR, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa – Pembubaran Muafakat Nasional (MN) akan menyaksikan kewujudan sebuah kerajaan yang lemah, rapuh serta terumbang ambing seperti dialami sekarang.

Lebih menakutkan, pembatalan kerjasama politik di antara UMNO dan PAS itu mampu memberi momentum kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diramalkan berlangsung tahun depan.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, sekiranya PAS keluar daripada MN dan menyertai Perikatan Nasional (PN), sudah pasti berlaku pertembungan tiga penjuru yang tidak menguntungkan orang Melayu.

Tegasnya, keadaan itu memberi ruang kepada PH yang memiliki cita-cita untuk menerajui negara ini sekali lagi bangkit daripada kekalahan lalu.

“PH akan untung sebab sudah pecah undi, orang Melayu sebahagian akan pergi kepada PN sebahagian lagi UMNO.

“Kalau tiga penjuru bermaksud PH ada sedikit kelebihan, kalau dua penjuru memang habislah PH,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, Dr Mazlan menyifatkan, gesaan supaya PAS menyatakan hala tuju sama ada mahu bersama MN atau PN adalah kata dua berbentuk ‘ultimatum’ daripada UMNO.

Katanya, ini kerana parti berteraskan orang Melayu itu semakin kesuntukan waktu bagi membentuk ketumbukan yang kuat menjelang PRU15.

Katanya lagi, UMNO berkemungkinan besar tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas dasar ‘survival’ kerana memiliki skop penggundi yang lebih kurang sama.

Namun, katanya, usaha memperkukuhkan ikatan dengan PAS dilihat penting kerana sentimen masyarakat kini mahukan sebuah kerajaan berlatarbelakangkan Melayu dan Islam susulan daripada pengalaman perit berada di bawah pemerintahan PH ditunjangi DAP.

“Lepas jatuh kerajaan di bawah Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), PAS nampaknya menyokong Bersatu. UMNO lihat Bersatu sebagai saingan dan jika dibiarkan lebih lama lagi mereka akan hilang penguasaan (politik).

“UMNO percaya dengan PAS pun dia sudah boleh tawan Malaysia untuk PRU15, sebab itu UMNO buat kenyataan PAS nak dengan dia atau Bersatu,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button