Dunia

6 maut, gempa 6.3 skala Richter gegar Croatia

Presiden jamin pulih semula bandar dengan bantuan kewangan dari EU

BELGRADE, 15 Jamadilawal 1442H, Rabu – Gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter menggegar ibu negara Croatia, Zagreb pada Selasa sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya enam nyawa terkorban. 

Gempa yang melanda bandar Petrinja di wilayah Sisak tengah berpusat sekitar 51 kilometer (31.7 batu) di tenggara Zagreb pada kedalaman 10km, menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranian. 

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa enam orang maut setakat ini akibat gempa. 

“Walaupun misi menyelamat runtuhan masih diteruskan, dukacita untuk dimaklumkan bahawa enam terkorban iaitu seorang wanita di Petrinja dan lima lelaki di Majske Poljane.

“Sekurang-kurangnya enam orang cedera parah dan 20 cedera ringan. Kita menumpukan kepada keluarga mangsa dan mereka yang cedera,” kata kementerian itu. 

Datuk Bandar, Glina Stjepan Kostanjevic mengesahkan empat mayat mangsa ditemukan di bandar berhampiran Petrinja, dan usaha menyelamat masih diteruskan. 

“Ini adalah insiden ngeri dan tragedi,” kata Presiden Croatia, Zoran Milanovic.

Dia memberi jaminan akan memulihkan semula bandar yang teruk terjejas akibat gempa dengan bantuan kewangan daripada Kesatuan Eropah (EU).

“Bandar ini akan dibina semula, namun ia tidak mampu menggantikan nyawa-nyawa yang menjadi korban,” katanya. 

Kerajaan mengerah pasukan bantuan di seluruh negara ke Petrinja bagi mengurus misi mencari dan menyelamat mangsa.

Gempa itu menyebabkan panik kepada penduduk dan kesesakan lalu lintas di Zagreb apabila ribuan mereka menyelamatkan diri dari bandar sehingga menyebabkan sistem komunikasi terputus. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button