Berita Utama

Gesa PDRM siasat tuduhan Zeti Aziz terima wang dari Jho Low

Siasatan perlu dilakukan, rakyat nak tahu sama ada benar atau fitnah

BANGI, 15 Jamadilawal 1442H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat laporan sebuah portal berita yang mendakwa keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz menerima sejumlah wang daripada individu paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

Sebelum ini, portal Malaysia Today mendedahkan beberapa dokumen dikaitkan dengan keluarga Zeti yang didakwa menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan itu, termasuk dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun mereka di Singapura.

Portal itu mendakwa, pegawai kanan di AmInvestment Bank Bhd (AmInvestment) bersekongkol untuk membantu dua syarikat yang mempunyai kaitan dengan Jho Low, menjana keuntungan berjuta-juta daripada bon 1MDB pada hari pertama ia dikeluarkan.

Jho Low kemudian didakwa memindahkan berjuta dolar kepada pelbagai individu dan entiti termasuk suami Zeti, Tawfiq Ayman, menerusi syarikat yang dikaitkan dengannya, Cutting Edge Industries Ltd, dalam satu surat bertarikh 13 Mac 2019.

Susulan dakwaan itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membuat satu laporan polis semalam, dan meminta siasatan mendalam segera dilakukan berhubung dakwaan berkenaan.

Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali berkata, tuduhan yang dibuat ke atas keluarga Zeti disifatkan sangat serius kerana beliau diketahui mempunyai integriti tinggi dan kewibawaannya dalam mengurus kewangan negara. 

“Beliau telah beberapa kali menerima anugerah cemerlang daripada beberapa badan kewangan antarabangsa sepanjang menjawat jawatan tersebut.

“Kebenaran perlu dicari dan keadilan harus ditegakkan, maka oleh kerana tuduhan ini mesti dibuktikan sama ada benar atau fitnah untuk mengaibkan kehormatan keluarga Tan Sri Zeti Aziz, apatah lagi beliau sekarang ini adalah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), agensi penting bagi orang Melayu, Bumiputera dan negara,” katanya dalam kenyataan.

Syed Ali berkata, dakwaan mengaitkan Zeti dan Jho Low berkemungkinan menjadi salah faham dalam masyarakat dan pihak luar yang beranggapan bekas Gabenor BNM itu terbabit dengan skandal 1MDB.

Justeru, siasatan segera perlu dilakukan bagi membersihkan buruk sangka, sekali gus rakyat tahu sama ada ia tuduhan benar atau fitnah.

“Saat ini sudah tentu telah puluhan ribu orang membaca berita berkenaan, jadi sudah tentu ia menjadi buah mulut pelbagi pihak.

“Perkara yang membimbangkan nanti adalah pandangan para pelabur luar untuk datang melabur ke dalam negara ini,” katanya.

Apatah lagi, kata Syed Ali, portal itu mendedahkan nombor akaun dan jumlah wang yang dimasukkan ke akaun keluarga Zeti kelihatan seperti transaksi tulen.

“Kami daripada PERKASA berasa bimbang sekiranya transaksi palsu dan nombor akaun serta jumlah wang yang dimasukkan juga palsu, maka tuduhan ini tentu sesuatu yang amat malang buat keluarga Zeti dan juga negara.

“Jika sebaliknya hl ini terbukti benar, maka tindakan undang-undang perlu diambil dengan segera tanpa peduli siapa yang terbabit,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button