Berita UtamaDunia

Israel, UAE rancang hapus UNRWA

Rancangan berlangsung ketika kedua-dua pihak umum normalisasi hubungan

PARIS, 15 Jamadilawal 1442H, Rabu – Negara haram Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa berpakat untuk menghapuskan Agensi Kerja dan Bantuan Palestin (UNRWA), lapor akhbar Perancis Le Monde.

UNRWA adalah sebuah organisasi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelarian Palestin sejak tahun 1949.

Agensi itu ditubuhkan selepas 700,000 penduduk Palestin dipaksa meninggalkan negara mereka oleh tentera Zionis untuk mewujudkan negara Israel.

UNRWA juga membantu lebih dua juta penduduk Gaza yang menderita akibat sekatan rejim Zionis sejak 10 tahun lalu.

Menurut Le Monde, rancangan itu telah berjalan sejak Israel dan UAE mengumumkan hubungan normalisasi antara satu sama lain pada Ogos.

Hal ini berikutan UNRWA telah berhenti daripada menerima dana Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang membawanya ke ambang muflis.

Sebelum ini, UAE bersama Qatar dan Arab Saudi telah menjadi penyokong utama UNRWA pada 2018 dan 2019.

AS, yang juga penyumbang tunggal UNRWA terbesar telah mengurangkan sumbangannya daripada AS$360 juta menjadi hanya AS$60 juta pada 2018, seterusnya jumlah bantuan itu menjadi sifar pada 2019.

Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Pierre Krahenbuhl ketika itu mengecam bantuan yang dihentikan AS.

“Maruah dan keselamatan jutaan pelarian Palestin telah dipertaruhkan, di mana mereka memerlukan bantuan makanan dan keperluan lain di Jordan, Lubnan, Syria, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza,” katanya.

UNRWA ditubuhkan untuk memberi bantuan kepada pelarian Palestin dan mandatnya diperbaharui setiap tiga tahun.

Agensi itu turut menyediakan perkhidmatan persekolahan dan perubatan kepada jutaan pelarian miskin di Jordan, Lubnan dan Syria, serta wilayah Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button