Berita Utama

Jejas siasatan, tak boleh umum nama syarikat guna logo halal palsu

Kenakan tindakan jika sijil halal yang dipamerkan palsu

KUALA BERANG 15 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta peniaga daging dan barangan sejuk beku mempamerkan sijil halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perkara itu penting bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan pengguna berkaitan pelbagai produk sejuk beku.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, Jakim berkuasa untuk mengenakan tindakan ke atas peniaga termasuk pemilik hotel, restoran dan pasar raya yang tidak mempamerkan sijil halal.

“Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh mengenakan tindakan jika sijil halal yang dipamerkan itu palsu.

“Perlu diingatkan, sijil halal untuk rumah penyembelihan hanya sah dalam tempoh satu tahun, dua tahun untuk restoran dan hotel, manakala tiga tahun untuk produk kosmetik, ” katanya seperti dilapor Berita Harian

Mengulas lanjut, Rosol berkata, peniaga yang mempamerkan sijil halal palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Berdasarkan kesalahan itu, katanya, individu yang bukan pertubuhan dan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Mereka yang didapati melakukan kesalahan kedua boleh dikenakan denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, ” katanya.

Mengulas mengenai sebab kerajaan masih belum mengumumkan nama syarikat dan jenama daging sejuk beku yang menggunakan logo halal palsu, Rosol berkata, isu itu dibangkitkan termasuk pada persidangan Dewan Negara semalam masih dalam siasatan.

“Kerajaan tidak boleh umumkan sewenang-wenangnya kerana boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Jelasnya, semua daging sejuk beku dijual di pasar raya dan pasar utama disahkan halal untuk dimakan.

“Daging sejuk beku yang dirampas kerana menggunakan sijil halal palsu sudah disita,” katanya.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button