Berita Utama

Kerajaan perlu pastikan saluran makanan dijamin halal: Mufti

Pastikan tiada penyelewengan, jangan mudah bagi logo halal

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 15 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kerajaan perlu memastikan saluran makanan yang dipasarkan dijamin halal – termasuk produk daging import, mestilah dari negara dan sumber yang tidak diragui.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda berkata, umat Islam telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih makanan dilabelkan halal.

“Malangnya, ada pihak yang menyediakan produk tidak halal atau mungkin penyediaan produk yang diragui status halalnya.

“Sekarang kita berharap kerajaan dapat mengambil langkah membendung tindakan salah ini.

“Perlu pastikan makanan halal, tiada penyelewengan, rasuah serta jangan mudah bagi logo halal,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan kartel berkenaan menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan keMelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button