Berita Utama

KPDNHEP agensi utama siasat isu kartel daging: Hamid Bador

PDRM pula akan siasat kes ikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR, 15 Jamadilawal 1442H, Rabu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjadi agensi utama dalam menyiasat isu kartel daging haram, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan membantu KPDNHEP sekiranya terdapat mana-mana sudut yang membolehkan untuk dilakukan siasatan.

“PDRM pula menyiasat (dan) membuka kertas siasatan dari sudut dari mana perbuatan ini (dilakukan).. perbuatan ini telah menimbulkan keresahan, ketakutan dan kebimbangan rakyat.

“Kita akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam),” katanya kepada Bernama selepas menerima penganugerahan Bintang Bhayangkara Utama di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu itu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

Setakat ini, polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan, selepas media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari beberapa negara sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button