Berita Utama

PDRM akan semak semula semua kes terbengkalai

Kes lama akibat penyeliaan tak rapi pegawai terdahulu

KUALA LUMPUR, 15 Jamadilawal 1442H, Rabu – Semua kes lama yang terbengkalai akan disemak semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hal ini berikutan kes-kes berkenaan tiada pemantauan rapi daripada pegawai terdahulu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui terdapat banyak kes yang disifatkan sudah ‘sejuk beku’, ini disebabkan tiada tindakan susulan.

“Kes-kes lama yang terbengkalai ini berlaku akibat penyeliaan tidak rapi pegawai terdahulu, fail ada tetapi tindakan susulan tidak ada, orang yang sepatutnya ditangkap dibiarkan bebas begitu sahaja.

“Saya tidak mahu lagi menghampakan orang, sehingga orang ramai membuat persepsi apa gunanya laporan polis dilakukan, namun tiada tindakan diambil,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Jelasnya, tugas polis bukan membela tauke judi, tauke dadah dan along, sebaliknya berperanan untuk membela orang ramai.

“Saya juga sudah mengingatkan pegawai supaya perkara ini tidak berulang, saya sudah mengarahkan supaya ia diselesaikan.

“Tindakan audit dari semasa ke semasa akan dilakukan bagi memastikan kes-kes sejuk beku ini disiasat,” katanya.

Katanya, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga diminta untuk mengemaskini data Ringkasan Jenayah Sembilan (RJ9).

“Jika dulu ada kira-kira 800,000 RJ9 tidak dimasukkan dalam sistem, terbaru saya dimaklumkan angka itu kini tinggal 70,000 dan ia akan kemas kini setiap masa.

“Ia bertujuan untuk memastikan maklumat setiap individu yang mempunyai rekod jenayah terdapat di dalam sistem,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button