Berita Utama

Kartel daging haram: Kerajaan belum terima laporan siasatan

Siasatan menjurus ke arah keperluan perundangan 'Requirement of Law

BANGI, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis – Kerajaan memberi jaminan akan melakukan siasatan sehingga ke akar umbi berhubung isu kartel daging haram membabitkan agensi penguat kuasa berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, siasatan dibuat berdasarkan perundangan menjuruskan ke arah keperluan-keperluan perundangan ‘Requirement of Law’.

Justeru katanya, sekiranya ada pelanggaran peruntukan undang-undang, tindakan akan diambil mengikut undang-undang itu.

“Sehingga kini siasatan mengenai perkara itu masih dijalankan dan kerajaan belum menerima laporan hasil siasatan.

“Saya difahamkan, pihak berkuasa sudah mengambil tindakan untuk membuat siasatan sehingga ke akar umbi.

“…jadi siasatan dilakukan antara kementerian berkaitan iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri kerana ia membabitkan sijil halal,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pihaknya yakin isu kartel daging haram ini isu yang sangat besar dan pengumuman rasmi hasil siasatan akan dilakukan oleh menteri-menteri berkaitan.

Beliau tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan mengumumkan mengenai perkara itu.

“Buat masa ini saya tidak boleh ulas lanjut mengenainya, kita tunggu hasil siasatan,” katanya.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan kartel berkenaan menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan keMelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan.

Setakat ini, polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button