Berita Utama

AS larang import daripada Sime Darby

Dakwa ada kerahan tenaga buruh paksa di ladang kelapa sawit

KUALA LUMPUR, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis – Amerika Syarikat mengenakan sekatan import daripada Sime Darby Plantation dan syarikat subsidiarinya kerana bimbang pekerjanya ditindas dan disalah gunakan.

Langkah menentang salah satu pengeluar minyak sawit terbesar di dunia ini menandakan kali kedua AS menyekat penghantaran dari sebuah syarikat minyak sawit di Malaysia dalam beberapa bulan terakhir.

Minyak kelapa sawit adalah bahan yang biasa terdapat dalam barang-barang seperti makanan yang diproses hingga kosmetik, dengan Malaysia dan negara jirannya menghasilkan 85 peratus dari bekalan dunia.

Tetapi aktivis telah lama mendakwa bahawa pekerja bergaji rendah di ladang berdepan dengan penyalahgunaan (buruh paksa), dan mereka juga menyalahkan industri kerana mendorong pemusnahan hutan hujan untuk memberi jalan masuk ke ladang.

Mengumumkan larangan itu pada hari Rabu (Khamis di Malaysia), Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) mengatakan ada bukti pekerja Sime Darby menghadapi penganiayaan termasuk kekerasan seksual dan fizikal, penahanan gaji dan sekatan pergerakan.

“Berkuat kuasa pada 30 Disember 2020, CBP mengumumkan Perintah Menahan Pelepasan terhadap minyak sawit dan produk mengandungi minyak sawit buatan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) di Malaysia,” kata Pengarah Eksekutif Direktorat Penguatkuasaan Undang-Undang Penyelesaian Perdagangan Jabatan Kastam, Ana Hinojosa pada sidang media di Washington.

CBP mengeluarkan perintah ini selepas berbulan-bulan melakukan penyiasatan terhadap proses pengeluaran SDP. 

Siasatan ini secara wajarnya mendapati adanya kesemua 11 petunjuk berhubung buruh paksa.

Keputusan itu, yang berkuatkuasa pada hari Rabu, bermaksud bahawa semua produk minyak sawit dan minyak sawit Sime Darby dari Malaysia dilarang memasuki pelabuhan AS.

Syarikat itu, yang membekalkan syarikat-syarikat besar seperti Nestle dan Unilever, menjalankan rangkaian ladang yang luas, dan menggajikan pekerja migran dari negara-negara termasuk Indonesia dan Bangladesh.

Awal tahun ini, kumpulan anti pemerdagangan manusia, Liberty Shared telah mengajukan petisyen kepada CBP untuk melarang import dari Sime Darby atas kebimbangan mengenai pengerahan tenaga buruh paksa.

Pada bulan Oktober, AS melarang import dari pengeluar minyak sawit Malaysia yang lain, FGV Holdings, berikutan siasatan panjang yang menunjukkan petunjuk bahawa pekerjanya berdepan dakwaan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button