Berita Utama

Hina Agong: Polis siasat Instagram ‘Bukan_Bang_Jago’

Pemilik akaun didakwa muat naik gambar Al-Sultan Abdullah diubah suai

BANGI, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap individu menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan kes pemilik akaun Instagram ‘Bukan_Bang_Jago’ yang disyaki menghina Yang di-Pertuan Agong, lagu kebangsaan dan bendera Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pemilik akaun media sosial itu didakwa memuat naik beberapa gambar diubah suai membabitkan wajah Seri Paduka, lirik lagu Negaraku dan bendera Malaysia yang dimasukkan simbol komunis.

“Siasatan sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataan sama, beliau menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu secara boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu-gugat keharmonian negara.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button