Berita Utama

Jalan Universiti bakal dikenali Jalan Prof Diraja Ungku Aziz

Bagi mengenang jasa Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz

SHAH ALAM, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis  – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya, dekat sini, dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Muhamad Munir Bani berkata, baginda berkenan untuk mengabadikan nama tokoh tersohor tanah air itu bagi mengenang jasa dan bakti Allahyarham Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam bidang pendidikan serta ekonomi Melayu semasa hayatnya.

“Pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz adalah bertepatan kerana  jalan (tersebut) adalah pintu masuk utama ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti MAHSA.

“Baginda juga telah berkenan menerima menghadap anak Allahyarham, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat baginda, sekali gus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook @Selangor Royal Office hari ini.

Pertukaran nama jalan itu akan dilakukan dalam masa terdekat, katanya.

Menurut Mohamad Munir, Ungku Abdul Aziz pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura) dari 1952 hingga 1961, seterusnya menjadi Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (Kuala Lumpur) bagi tempoh 1962 hingga 1965.

Jalan Universiti sepanjang 3.2 kilometer merupakan antara jalan utama menghubungkan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, dibina pada 1960.

Ungku Abdul Aziz meninggal dunia di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 15 Disember lalu. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button