Berita Utama

Lakukan inisiatif sokong industri pemakanan tempatan

Industri halal terutama bekalan import bukan babit Jakim saja, banyak lagi pemegang taruh lain

BANGI, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis – Inisiatif bagi menyokong industri pemakanan lokal atau tempatan perlu dilakukan, saran Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham.

Ketua Program Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang itu berkata, di negara maju, pasar raya utama akan sentiasa mengutamakan bekalan makanan daripada sumber terdekat, malah seboleh-bolehnya dari daerah yang sama.

Perkara itu akan menggalakkan industri tempatan, selain mengelakkan monopoli, katanya.

“Malah lebih penting, rantaian perbekalan makanan akan lebih pendek dan kemungkinan berlakunya pengkhianatan adalah rendah,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu kartel yang terbabit dalam pengimportan daging sejuk beku dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya kini heboh diperkatakan.

Mengulas lanjut, Ahmad Irfan berkata, isu berkenaan mengajar masyarakat bahawa industri halal terutamanya bekalan import bukan hanya membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja.

Hakikatnya banyak pemegang taruh lain terbabit termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Bagaimanapun, katanya, pihak paling kritikal ketika ini adalah syarikat pemegang lesen dan pembekal.

Beliau berkata, sekiranya pemain industri lebih mengutamakan keuntungan dan mengabaikan integriti, maka pengguna akan terus menjadi mangsa.

“Justeru, kesungguhan pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan ke atas kartel yang mungkin sudah pun bertahun-tahun ‘rasa sedap’ dengan monopoli dan kekuasaan pemasaran dimiliki, amatlah dinantikan oleh rakyat.”

“Sekiranya tindakan ini dapat diambil, integriti dapat dipertingkat, permintaan boleh dipenuhi, bekalan daging semakin segar dan berkualiti, manakala harga boleh dilaraskan kembali,” katanya.

Sementara menanti langkah tuntas pihak bertanggungjawab, beliau berkata, pengguna juga perlu memainkan peranan kerana pada akhirnya mereka sendiri yang akan menghidangkan dan menghadap juadah daging di atas meja makan.

Katanya, pesanan Rasulullah ﷺ.  perlu diteladani ketika ini, di mana Baginda ﷺ.  pernah menyatakan apa yang halal dan haram secara jelas, cuma antara kedua-duanya ada syubhah, iaitu tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram.

Maka, katanya, Baginda ﷺ.  menyatakan untuk menjauhi perkara syubhah.

“Sekiranya pengguna menggunakan kuasa kepenggunaan dengan mengelakkan daging syubhah, kembali mengutamakan ajaran sunah dan mengutamakan produk tempatan.

“Maka tiadalah peluang lagi kepada kartel untuk berterusan menikmati kuasa pasaran mereka sehingga kelabu mata demi keuntungan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button