Berita Utama

Harga diri, maruah bangsa lenyap jika cinta pada negara hilang

Perbezaan ideologi, parti politik tak patut jadi halangan makmurkan negara

BANGI, 11 Muharram 1442H, Ahad – Harga diri serta maruah sesuatu bangsa akan lenyap sekiranya rasa cinta terhadap negara hilang dan kepercayaan kepada ibu pertiwi musnah.

Bahkan, keadaan itu juga akan mengundang kelemahan bangsa, demikian tegas Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Ku Hasnan Ku Halim.

Lantaran itu, untuk mengembalikan semangat patriotisme, sejarah dan sivik mesti dijadikan landasan.

Ini kerana, melaluinya manusia semasa dapat mempelajari segala liku-liku yang terpaksa ditempuhi generasi sebelumnya untuk mewariskan sebuah kehidupan bagi generasi berikutnya.

“Segala kesusahan ditempuhi generasi terdahulu dapat dijadikan iktibar untuk merangka tamadun lebih tinggi untuk generasi kemudiannya pula.

“Melalui cara itulah, tamadun manusia berkembang dan nadi kepada perkembangannya terletak pada semangat patriotisme,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Menjelang sambutan kemerdekaan ke-63 esok, Ku Hasnan berkata, pengorbanan tokoh zaman silam mestilah dikenang sebaiknya kerana mereka sejarah gemilang perjuangan gemilang untuk memartabatkan patriotisme negara.

“Oleh itu, negarawan lambang atau simbol kejayaan sesebuah bangsa yang merdeka. Mereka generasi yang menjadi pelopor kemerdekaan dan kemajuan kita nikmati hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbezaan ideologi, kaum dan parti politik dalam sesebuah negara sepatutnya tidak dijadikan halangan kepada usaha memakmurkan negara.

Katanya, tidak kira petani, nelayan, kakitangan awam atau buruh, semuanya perlu mempunyai semangat kecintaan menebal ke atas negara.

“Tanpanya, individu dan masyarakat akan berpecah belah kerana masing-masing lebih menumpukan kepada diri atau puak masing-masing dan lupa tanggungjawab terhadap negara.

“Semangat patriotisme lebih penting kepada negara pada masa kini. Ini kerana negara didiami rakyat berbilang agama, bangsa dan ideologi politik yang begitu ketara.

“Jika rakyat meletakkan semangat perkauman, kefahaman ideologi politik atau parti politik lebih utama daripada negara, tentulah pembangunan dan kemajuan tidak akan dapat dicapai,” katanya.

Oleh itu dalam situasi masyarakat sebegini, Ku Hasnan berkata, keperluan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat begitu penting.

“Semangat patriotisme akan menghalang rakyat Malaysia bersikap prejudis terhadap mana-mana kaum, agama mahupun ideologi parti yang berbeza dengan mereka.

“Dalam erti kata lain mereka akan meletakkan kepentingan negara lebih tinggi daripada peribadi mahupun kaum masing-masing,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button