Berita Utama

MN perlu dibuka kepada pihak cintakan perpaduan

Pastikan tiada pertembungan yang untungkan pihak lain

KUALA LUMPUR, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis – Muafakat Nasional (MN) bukan milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di negara ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Justeru, katanya, muafakat UMNO dan PAS itu perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai pandangan sama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), khususnya dalam memastikan tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.

“MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu, bumiputera khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, secara tuntas dalam kerangka perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan.

“PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta menghormati, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini timbul khabar angin bahawa PAS telah membatalkan kerjasama dengan UMNO serta Piagam MN.

Takiyuddin berkata, mana-mana pihak juga tidak perlu meminta PAS memilih sama ada hendak bersama MN atau tidak kerana PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah.

Jelasnya, PAS berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai di antara UMNO dan PAS pada 14 Sept 2019 yang antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

“Dengan mengekalkan komitmen yang mantap dalam Agenda Besar MN, adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk UMNO daripada kekal bersama Barisan Nasional mahupun untuk PAS daripada menyertai mana-mana gabungan atau kerjasama politik,” tegasnya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button