Berita Utama

Tahap pematuhan SOP Kelantan agak rendah

Masih ramai ambil mudah langkah pencegahan penularan COVID-19

KOTA BHARU, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis – Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) rakyat di Kelantan agak rendah, selain ramai yang mengambil mudah terhadap langkah pencegahan penularan wabak COVID-19.

Situasi itu semakin membimbangkan apabila bilangan perantau yang pulang ke negeri ini meningkat dan mencecah hampir sekali ganda selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, keadaan itu boleh dilihat dengan kesesakan jalan raya dan premis kedai makan yang padat.

Bagaimanapun, katanya masih ramai yang ambil mudah terhadap pematuhan SOP terutama ketika berada di tempat awam.

“Saya melihat rakyat ambil mudah termasuk pemakaian pelitup muka, memang ada yang menegur tapi ramai yang hanya melihat jika ada yang tidak mengenakannya.

“Saya sudah arahkan kepada anggota jika ada yang tidak patuh SOP di kawasan awam, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, langkah pencegahan sebenar adalah bergantung kepada kesedaran masing-masing.

Katanya, hal ini disebabkan pihak berkuasa hanya dapat membantu dengan mengambil tindakan sahaja.

“Yang penting adalah kesedaran kepada pematuhan SOP dan setakat ini sebarang vaksin belum diterima malah kaedah yang terbaik adalah jaga SOP,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kepada pihak yang ingin menganjurkan kenduri supaya tidak menyalah guna kelulusan yang diperoleh daripada pihak berkuasa.

Tegasnya, penganjur akan berdepan dengan tindakan sekiranya didapati tidak mematuhi SOP seperti tidak menyediakan buku pendaftaran tetamu, alat bacaan suhu serta cecair pembasmi kuman.

“Mesti ikut SOP dan dapatkan bantuan anggota Rela untuk kawal tetamu yang hanya dibenarkan seramai 50 orang untuk satu-satu masa..jika ingkar, penganjur dan tetamu akan diambil tindakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button