Berita Utama

Tak lepas tangan isu kartel daging haram

Terdapat banyak pembekal daging import di kalangan Bumiputera muslim

BANGI, 16 Jamadilawal 1442H, Khamis – Masyarakat diminta tidak menganggap Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) lepas tangan dalam menangani isu kartel daging import.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa isu itu penting kerana membabitkan umat Islam.

Jelasnya, beliau telah menerima beberapa tangkap layar berkaitan laporan media selain terdapat segelintir pihak mempersoalkan kenyataan dikeluarkan pihaknya sebelum ini, yang membabitkan isu sama.

“Ada juga segelintir pihak yang mempersoalkan seolah-olah saya lepas tangan dalam isu ini.

“Inilah asas kepda dua pilihan yang saya kemukakan sebagai jawapan kepada pertanyaan wartawan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Twitter, semalam.

Terdahulu, Zulkifli pada Rabu berkata, umat Islam mempunyai pilihan sendiri untuk tidak memakan daging import khususnya lembu sekiranya mempunyai keraguan status halal daging berkenaan.

“Sepertimana yang disebut dalam hadis, tinggalkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan.

“Sebab itu saya sendiri telah pergi ke dua tempat (kilang menyimpan daging beku) dua hari lepas untuk memastikan daging import yang benar-benar ikut piawaian dan garis panduan,” katanya.

Mengulas lanjut,  Zulkifli berkata, kenyataan berkenaan adalah bagi menjawab pertanyaan wartawan berhubung pandang Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan untuk mengelak makan daging import.

Katanya, beliau amat menghormati pandangan Ustaz Zamri disebabkan itu juga antara pilihan tersedia untuk umat Islam.

Beliau juga mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa terdapat banyak pembekal daging import dalam kalangan Bumiputera Muslim, yang juga pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

 Zulkifli berkata, umat Islam boleh membuat semakan terhadap status pihak terbabit melalui laman halal.gov.my.

“Justeru, dengan meraikan pandangan sahabat saya Timbalan Mufti Perak, juga suara pembekal daging import dalam kalangan Bumiputera Muslim yang tidak terbabit dalam hal ini, itulah pilihan yang saya kemukakan.

“Saya yakin kita semua bersetuju bahawa pembekal daging import dalam kalangan Bumiputera Muslim yang tidak bersalah, tidak wajar terpalit sama dalam isu ini,” katanya.

Beliau turut sebuah hadis Rasulullah ﷺ yang bermaksud, ‘tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu’.

“Saya amat berharap kenyataan ini tidak disalah anggap sebagai saya bersikap lepas tangan terhadap isu yang penting bagi umat Islam ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button