Berita Utama

Tanah Rizab Melayu: Kekalkan nisbahnya, jangan beri pemaju perumahan!

Ganti semula Tanah Rizab Melayu, bangunkan demi pentingan semua

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Rabiulawal 1442H, Ahad – Kerajaan diberi amaran untuk tidak menyerahkan Tanah Rizab Melayu kepada pihak swasta khususnya pemaju perumahan.

Ini kerana, kerajaan sebagai pemengang amanah bertanggungjawab memastikan tanah berkenaan dibangunkan demi keuntungan rakyat secara keseluruhannya, dan bukan menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacub berkata, apa yang dibimbangkan sekarang adalah orang Melayu sendiri tidak mampu membeli rumah di atas tanah yang dikhaskan untuk mereka.

Di samping itu, beliau berharap kerajaan dapat mengekalkan nisbah 50 peratus Tanah Rizab Melayu di negara ini, selain menilai semula sebarang rancangan pembangunan memandangkan nilainya semakin susut bahkan ada yang diambil masih belum diganti.

“Kita minta kerajaan tidak mengambil sewenang-wenangnya tanah simpanan Melayu ini, untuk pembangunan yang tidak menguntungkan rakyat secara keseluruhan.

“Janganlah diambil tanah itu dan berikan kepada pihak swasta bangunkan projek perumahan, yang akhirnya orang Melayu sendiri tidak mampu untuk memiliki,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyarankan supaya Tanah Rizab Melayu dimasukkan ke dalam rancangan pembangunan khas, agar boleh mengimbangi jurang ekonomi orang Melayu.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mencadangkan supaya kerajaan menumpukan pembangunan Tanah Rizab Melayu dari sudut perbandaran, perindustrian atau pelancongan supaya manfaatnya dinikmati kembali oleh orang Melayu.

Bersetuju dengan cadangan itu, Prof Madya Abu Sofian berkata, kerajaan pada masa sama perlu mengekalkan kelestarian Tanah Rizab Melayu dan tidak menggunakan keseluruhannya untuk pembangunan.

“Kita mahu kehijauan itu masih dikekalkan dan mana-mana tanah atau hutan simpan, janganlah dijarah semua untuk pembangunan,” katanya.

Setakat tahun 2017, nisbah keluasan Tanah Rizab Melayu masih 30 peratus, di mana belum mencapai 50 peratus seperti yang terkandung dalam ‘Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu’.

Wasiat kedua daripada tujuh wasiat yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957 itu menyebut:

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button