Berita UtamaPendapat

2021: Wanita harus berjiwa besar hadapi cabaran

Lakukan naratif pemerkasaan, jangan acah-acah ikut Barat

2020 merupakan tahun yang memberi impak kepada manusia sejagat. Kehadiran virus Covid yang dalam sekelip mata menyerang 83 juta penduduk dunia dan mengakibatkan kematian hampir 2 juta orang dari seluruh pelusuk alam membongkarkan seribu satu keburukan sistem dunia hari ini.

Hari ini kita dapati yang lemah terus ditindas dan yang kaya terus diangkat.

Golongan wanita dan kanak-kanak merupakan antara golongan yang paling terkesan dengan kebobrokan hari ini. Di media sosial, laman-laman berita tempatan dan luar negara kita dapati kes-kes jenayah berkaitan dengan wanita membuak-buak setiap hari. Dari masalah rogol, keganasan rumah tangga, pembunuhan, serta kejadian buli samada secara fizikal atau di alam siber semakin menjadi-jadi. Tidak cukup dengan itu, objektifikasi wanita sebagai pelaris barangan yang dijual makin berleluasa, dan sering dikaitkan dengan unsur-unsur seksual.

Naratif tamadun songsang barat untuk memperkasakan wanita ironinya adalah dengan menuntut segala hak yang berlawanan dengan erti kata pemerkasaan itu sendiri. Mereka menuntut hak untuk bebas berpakaian, hak untuk tidak mengikut telunjuk sesiapa termasuk suami, hak untuk bebas berpasangan tanpa ikatan dan 1001 hak lain. Saya kurang mengerti bagaimana secebis pakaian diatas tubuh badan manusia merupakan simbol perkasa seorang wanita.

Bukankah pemerkasaan itu ertinya keupayaan untuk melakukan sesuatu yang produktif dan bermanfaat buat diri, keluarga dan masyarakat?

Bersempena dengan tahun baru 2021, wanita sedunia haruslah memandang ke hadapan, meneruskan usaha menongkah arus dan cabaran serta berjiwa besar untuk menjadi kekuatan luar biasa yang akan membuna peradaban dunia yang baru, yang jauh berbeza daripada apa yang kita lihat sekarang.

Peranan wanita di rumah, tempat kerja, kejiranan, masyarakat dan dalam negara ini cukup signifikan bagi melahirkan generasi harapan, mendidik pemimpin dunia serta mengubah acuan pemikiran anak bangsa.

Kerjasama wanita dan lelaki terutama dalam membina nukleus peradaban kita iaitu institusi kekeluargaan merupakan keperluan kritikal. Namun apa yang kita lihat pada hari ni, suami isteri diajak bertelagah dan berkira dalam menunaikan hak masing2 sehingga berlaku cerai-berai, sedangkan pergaulan bebas diangkat.

Sudah tiba masanya lakaran yang baru tentang naratif pemerkasaan wanita dibuat. Bukan lagi mengikut acuan barat yang acah-acah memberikan kebebasan dan pemerkasaan tetapi hakikatnya wanita dibelengu dengan sifat indivualistik yang tidak menguntungkan sesiapa.

Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button