Berita Utama

Bayaran balik pinjaman PTPTN ditangguh 3 bulan lagi

Peminjam terkesan COVID-19 boleh buat mohon penangguhan mulai 5 Januari

BANGI, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) selama tiga bulan kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19 serta belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

Sehubungan itu, peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac 2021, katanya.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.

“Butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noraini berharap pengumuman pelanjutan bayaran pinjaman dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam PTPTN.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.

Sebelum ini, kerajaan telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 kepada semua peminjam berikutan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button