Berita Utama

Kartel daging: Jangan sampai rakyat ‘londeh’ kegiatan haram mereka

Jawatan yang dipegang digunakan untuk khianati sumber makanan anak bangsa

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Sekiranya tidak mahu mengundang kemarahan umat Islam, kerajaan tidak boleh berdalih atau mencari helah melindungi mereka yang terbabit isu kartel daging sejuk beku yang diragui status halal.

Bukan itu sahaja, pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan berhubung isu yang sensitif ini secara amanah dan profesional.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Mohd Rusdi Alias berharap umat Islam dapat mengikuti rapat isu ini dan jangan biarkannya berlalu tanpa ada tindakan daripada pihak berkuasa.

Beliau turut meminta rakyat bersatu di dalam isu ini kerana ia mencemar maruah umat Islam ini.

“Kepada yang terlibat, takutlah kepada azab Allah dan bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Allah Maha menerima taubat hamba-hambanya.

“Lebih baik mengakui kesalahan sebelum kegiatan mereka dilondehkan oleh rakyat sendiri. Bukan susah untuk mencari maklumat pada zaman teknologi sekarang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap isu ini dapat memberi kesedaran umat Islam dengan isu yang lebih besar lagi iaitu pihak berkuasa yang tidak amanah kepada umat sendiri.

Jawatan yang dipegang oleh mereka digunakan untuk mengkhianati sumber makanan anak bangsa mereka sendiri, oleh itu tidak dapat dibayangkan betapa berat kesalahan yang mereka telah lakukan terhadap umat Islam sendiri, katanya.

“Justeru, pentingnya kuasa politik diberikan kepada pimpinan yang berwibawa dari kalangan umat Islam sendiri. Jangan biarkan politik wang menguasai jalan politik pimpinan negara. Sepatutnya pimpinan perlu berfikir dan berusaha membantu umat Islam dan memartabatkan agama.

“Mereka tidak layak dilantik sekiranya prestasi mereka tidak menunjukan tanggungjawab terlaksana dengan baik.

“Apatah lagi jika dikenal pasti bahawa mereka sendiri terlibat di dalam kes-kes rasuah, penyalahgunaan kuasa, bersekongkol dengan mereka yang mempunyai kepentingan peribadi, terlibat di dalam usaha yang meruntuhkan negara dan sebagainya,” katanya.

Isu kartel daging itu juga kata Ustaz Rusdi menunjukkan pentingnya sumber makanan dipegang oleh umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa muslim menguasai rangkaian sumber makanan mereka sendiri dan tidak bergantung kepada pihak yang tidak beriman kepada Allah.

“Umat mesti berdiri di atas ekonomi sendiri. Hilangnya sifat mandiri dalam ekonomi umat Islam akan menjadikan kita terus terjajah kerana bergantung hidup kepada mereka.

“Sebab itu mereka boleh membekalkan kepada umat Islam apa sahaja sumber makanan yang tidak halal bahkan menyalurkan makanan yang memudaratkan diri kita sendiri.

“Umat Islam berada dalam situasi yang tidak selamat sekiranya sumber makanan kita sendiri adalah bergantung harap kepada orang yang kufur kepada Allah. Perkara ini bertambah parah apabila pihak berkuasa sendiri terlibat dalam isu kartel daging import yang tidak halal ini,” katanya.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button