Berita Utama

Kereta terhumban: Bayi 4 bulan, 3 kanak-kanak antara 9 disahkan maut

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa

KUCHING, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Dua wanita, tiga remaja, tiga kanak-kanak serta seorang bayi lelaki berusia empat bulan disahkan meninggal dunia dalam tragedi kenderaan pacuan empat roda (4WD) terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Friso, kira-kira 120 kilometer dari sini, jam 3 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mereka dikenal pasti sebagai Ronany Ting, 33, yang memandu 4WD itu serta penumpang Siti Aisha Abdullah, 36.

Turut terkorban ialah Nor Shuhada Mohamad, 16 (perempuan); Khairunnisa Muhamad, 14 (perempuan); Alvin Phang, 12 (lelaki) dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7 dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.

Bayi lelaki itu pula dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

“Pengesahan kematian mangsa telah dibuat oleh (seorang) pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Beladin,” kata jurucakap itu.

Menurut jurucakap itu, kesemua mangsa yang mempunyai pertalian kekeluargaan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Sibu, kira-kira 200 km dari lokasi tragedi, ke bandar raya Kuching sebelum kejadian.

“Punca kejadian kemalangan kenderaan tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Feri Triso merupakan perkhidmatan penghubung kepada projek jalan pesisir Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak Second Trunk Road yang merentasi beberapa batang sungai yang lebar dan menjadi pilihan pengguna jalan raya di negeri ini berikutan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang masih belum siap.

Jarak di antara tebing ke tebing Sungai Batang Lupar di mana Feri Triso itu beroperasi ialah kira-kira lima km dan sebuah projek bagi membina sebuah jambatan merentasi sungai berkenaan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button