Berita UtamaDunia

Kes meningkat, Bangkok tutup sekolah dua minggu

279 kes hari ini, kebanyakan berkaitan kluster pekerja migran

BANGKOK, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Semua sekolah di Bangkok akan ditutup selama dua minggu selepas cuti Tahun Baharu bagi mengetatkan langkah-langkah untuk mengawal gelombang baharu COVID-19.

Thailand mengesahkan 279 kes COVID-19 hari ini, dengan kebanyakannya berkaitan kluster pekerja migran di wilayah Samut Sakhon, selatan Bangkok, dan satu lagi kluster berkaitan pusat perjudian haram yang bermula di wilayah timur Rayong.

Kluster baharu itu mulai menular ke Bangkok, mendorong pentadbir bandaraya memperketat langkah-langkah bagi mengekang penyebaran virus.

“Kami mulai mengesan kes baharu yang berkaitan dengan pelajar dan perniagaan perkhidmatan lain.

“Oleh itu, kami memutuskan untuk menutup lebih banyak tempat,” kata jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Pongsakorn Kwanmuang.

Semua sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua, prasekolah dan pusat tuisyen akan ditutup dari 4 hingga 17 Januari.

Sementara kemudahan awam yang lain termasuk taman hiburan, taman permainan, tempat mandi awam dan rumah urut pula akan ditutup mulai esok, katanya.

Pongsakorn berkata, bandar raya itu turut mempertimbangkan untuk mengenakan larangan makan di restoran tetapi menyatakan bahawa lebih banyak perbincangan diperlukan dengan pasukan petugas COVID-19 kerajaan esok.

Thailand mencatatkan dua kematian baharu akibat COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah jangkitan 7,163 dan jumlah kematian menjadi 63 sejak wabak itu bermula Januari lalu.

Sebilangan besar kes baharu berpunca dari penularan tempatan sementara enam diimport dari luar negara, kata pasukan petugas COVID-19 kerajaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button