Berita Utama

Malaysia, Singapura tamatkan projek HSR selepas gagal capai persetujuan

Kedua-dua negara kekal komited untuk kekalkan hubungan dua hala

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura telah ditamatkan memandangkan kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia susulan perjanjian projek itu berakhir pada Khamis (31 Disember).

Dalam kenyataan media bersama oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong berkata kerajaan Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan kepada projek HSR kerana kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi Malaysia.

“Kedua-dua kerajaan telah mengadakan beberapa perbincangan berhubung perubahan ini dan belum dapat mencapai persetujuan. Oleh itu Perjanjian HSR telah luput pada 31 Dis 2020,” menurut kenyataan itu.

Pemimpin itu berkata, kedua-dua negara akan mematuhi kewajipan masing-masing dan kini meneruskan tindakan yang perlu, hasil daripada penamatan Perjanjian HSR tersebut.

“Kedua-dua negara kekal komited untuk mengekalkan hubungan dua hala yang baik dan bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang termasuk mengukuhkan hubungan kedua-dua negara,” kata mereka.

Pada 31 Mei tahun lalu, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembangunan projek dua hala bernilai RM110 bilion sehingga 31 Disember 2020.

Ia merupakan kali kali kedua projek HSR sepanjang 350 kilometer itu ditangguhkan selepas pertama kali ditangguhkan pada September 2018.

Pada 13 Dis 2016, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala penting untuk membuka jalan bagi pelaksanaan projek HSR yang dijadualkan siap pada 2026 dan akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button