Berita UtamaIstimewa

Perjuangan diteruskan dengan penuh istiqamah

Wajib untuk terus bersatu, bawa agenda perpaduan umat

TAHUN 2020 yang penuh suka dan duka ini sudah melabuhkan tirainya. Banyak peristiwa-peristiwa yang telah kita tempuhi bersama sebagai rakyat Malaysia dalam tahun ini.

Apa yang paling disyukuri ialah atas banyak kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh NGO-NGO Islam pada tahun ini. Jika dahulunya NGO-NGO Islam tidak dipandang sangat pun peranannya dalam perbentukan agenda negara, tetapi tahun ini masyarakat terutamanya masyarakat Melayu Islam semakin nampak peranan kami. Alhamdulillah.

Salah satu peranan besar yang telah berjaya dimainkan oleh NGO-NGO Islam ialah dalam agenda perpaduan umat Melayu-Islam di negara ini. Jika dahulu, apabila ada sahaja isu yang melibatkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu, sangat sukar untuk kita bersatu di peringkat persatuan-persatuan, ketua-ketua dan tokoh-tokoh masyarakat. Walaubagaimanapun, masih jauh lagi perjalanan kita bagi membina kekuatan baharu umat ini, iaitu rangkaian NGO-NGO Islam.

Walaupun tahun 2020 ini merupakan tahun yang getir, di mana negara telah dilanda dengan pelbagai ujian terutamanya penularan wabak COVID-19, saya nampak bahawa di sini keikhlasan dan kekentalan NGO-NGO Islam bergerak.

Walaupun tiada peruntukan, tiada tajaan dari mana-mana hartawan dan malah semuanya datang dari poket ahli masing-masing tetapi aktiviti-aktiviti seperti kebajikan dan khidmat masyarakat masih berjalan. Malah, lebih giat lagi kerana mereka ini mempunyai kefahaman bahawa semakin banyak bakti yang ditaburkan dengan penuh kesabaran, semakin banyak balasannya di akhirat kelak.

Tahun baharu 2021 ini pastinya akan menjanjikan perjuangan yang semakin getir dan memerlukan kekuatan mental dan rohani semua pihak dengan pelbagai cabaran lebih-lebih lagi apabila dikhabarkan bahawa besar kemungkinan pilihanraya umum akan berlaku pada tahun ini.

Kita yakin, bahawa perjuangan kami adalah perjuangan yang berlandaskan kebenaran, kerana kebenaran adalah kebenaran. Kebenaran akan muncul dan tertegak kerana ianya adalah milik Allah S.W.T manakala kebatilan akan jatuh tersungkur kerana ianya dimain-mainkan oleh syaitan yang melemahkan.

Umat Islam terutamanya NGO-NGO Islam wajib untuk terus bersatu dan membawa agenda perpaduan umat walau apa pun yang terjadi dan agenda perpaduan ummah ini mestilah berada melangkaui agenda kepartian yang pasti akan ‘berubah-ubah’ tentang definisi perpaduan ummah ini. Kita perlu berpadu dan berganding bahu memperjuangkan agenda kebenaran walaupun terpaksa menempuh halilintar dan gelombang yang membadai.

Selamat Tahun Baru 2021. Selamat berjuang dan sama-sama kita istiqamah menantikan kejayaan dari Allah S.W.T. InsyaAllah. Ameen.

Haji Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
1 Januari 2021

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button