Berita Utama

PRU15 dijangka antara April hingga Jun?

Tak boleh tunggu terlalu lama, perbezaan terlalu kecil di Dewan Rakyat

BANGI, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Bersandarkan kepada keadaan semasa, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan antara April hingga Jun depan.

Beliau berkata, kerajaan sekarang tidak boleh menunggu terlalu lama berikutan perbezaan yang terlalu kecil di Dewan Rakyat.

Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila terdapat perkara membabitkan kepentingan rakyat yang memerlukan undian dalam kalangan ahli dewan.

“Dalam keadaan kita cuma mendapat 111 undian berbanding 108 ketika meluluskan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kita perlu sedar betapa margin antara kerajaan dan pembangkang terlalu tipis.

“Macam-macam boleh berlaku sekarang, jadi kerajaan tidak boleh tunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Semalam media melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, beliau menjangkakan PRU15 akan diadakan menjelang tempoh akhir iaitu pada 2023.

Ini kerana katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada dalam kedudukan yang stabil terutamanya selepas sesi Parlimen lalu.

Mahdzir bagaimanapun menganggap kenyataan Redzuan itu mungkin hanya pandangan peribadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

Jelasnya, sehari sebelum Parlimen ditangguhkan baru-baru ini, Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan akan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.

“Kenyataan itu dibuat selepas Belanjawan 2021 diluluskan dengan beliau turut bertemu dengan kami, kalangan Ahli Parlimen. Jadi saya menjangkakan PRU-15 mungkin akan berlaku pada tahun ini juga,” katanya.

Ditanya mengenai pengagihan kerusi, Mahdzir berkata, jawatankuasa yang membincangkan perkara itu diharap dapat menghormati keputusan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang mahu supaya mana-mana kerusi dimenangi parti itu termasuk yang wakil rakyatnya melompat ke parti lain akan tetap diserahkan kepada UMNO.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button