Berita Utama

Tolak parti politik tak semenggah

Pastikan undi calon berwibawa pada PRU15: BERJASA

BANGI, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Kemelut politik yang berlaku dalam kerajaan negeri di Perak sebelum ini wajar dijadikan pengajaran kepada rakyat terutamanya orang Melayu dalam memilih wakil pada pilihan raya kelak.

Serentak itu, Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman menyarankan orang Melayu untuk mengenal pasti parti politik yang tidak semenggah dengan menjatuhkan kerajaan Sultan di Perak.

Penduduk majoriti itu juga digesa memilih calon muslim yang berwibawa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Permainan UMNO mempermainkan sebuah kerajaan negeri, minda rakyat, kerajaan sultan bermula apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kata bukan nak jatuhkan PN tapi tukar MB.

“Kemudian berunding pula dengan DAP kemudian akhir sekali mohon maaf kepada PN seolah-olah kerajaan negeri tidak berharga di sisi pemimpin UMNO ini, kerajaan Sultan ini tidak berharga,” katanya menerusi video ringkas disiarkan BERJASA.

Mengulas lanjut katanya, secara logik UMNO perlu memohon maaf kepada Sultan tetapi ironiknya PAS pula yang memohon maaf.

“Entah apa-apa cacamerba habis. Saya nak sebut akhir sekali rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu mengambil pengajaran.

“Pasti betul-betul muka ini, perangai mana-mana parti yang tidak semenggah. PRU15 nanti kita pilih calon muslim yang berwibawa,” katanya.

Terdahulu, krisis pembentukan kerajaan Perak tercetus selepas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam undian terhadap usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) itu, Ahmad Faizal dari BERSATU hanya mendapat 10 undi berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Berikutan itu, Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Kemudian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak Ke-14 selepas mendapat perkenan Sultan Nazrin Shah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button