
JOHOR BAHRU, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat merampas 47 set bubu naga di perairan Batu Pahat, petang semalam.
Pengarahnya, Komander Maritim Mohamad Othman berkata, rampasan dilakukan pada 3 petang, ketika bot ronda Zon Maritim Batu Pahat melaksanakan Op Jaksa di sepanjang perairan Muar hingga Pontian.
“Hasil maklumat orang awam, sebanyak 47 set bubu naga yang dipasang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab, dapat dikesan APMM di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika barat laut muara Sungai Ayam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tahun lepas, Zon Maritim Baru Pahat merekodkan 97 kes membabitkan bubu naga dengan 1,179 set bubu naga berjaya dirampas, yang kesemuanya dianggar bernilai RM176,850.
Situasi itu menggambarkan masih terdapat kelompok nelayan yang mengambil jalan mudah bagi meraih keuntungan tanpa memikirkan akibat kepada kelangsungan ekosistem perikanan negara selain mata pencarian nelayan tradisional lain. -Bernama