Berita Utama

Buat laporan polis, scam poligami salah di sisi undang-undang

Tak mustahil dilakukan ejen luar yang tawarkan khidmat pernikahan sindiket, Peguam Syarie atau kakitangan mahkamah

BANGI, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) tidak menolak kemungkinan scam poligami dilakukan oleh pemohon, ejen luar yang menawarkan khidmat pernikahan sindiket, Peguam Syarie atau kakitangan mahkamah sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, penipuan ini walau dilakukan oleh sesiapapun adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak, agar dapat membuat laporan kepada pihak berkuasa sama ada kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguatkuasan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan boleh dibuat sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan perlakuan penipuan seperti ini supaya siasatan dan tindakan lanjut boleh diambil berdasarkan undang-undang.

“Bagi pihak pentadbiran Mahkamah Syariah, siasatan dalaman akan dilakukan jika ada aduan penipuan melibatkan kakitangan mahkamah dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peraturan-peraturan sedia ada penjawat awam.

“Pihak JKSM dan Mahkamah Syariah Negeri-Negeri sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan warganya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan kewajipan yang diberikan.

“Sebagai sebuah agensi di bawah tanggungjawab saya, JKSM selaku agensi penyelaras Mahkamah Syariah di negara ini akan bekerjasama rapat dengan pihak Mahkamah Syariah Negeri-Negeri, Penguatkuasa JAIN, PDRM dan SPRM dalam mengekang gejala tipuan poligami ini, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli menegaskan bahawa perkahwinan poligami dibenarkan menurut Hukum Syarak dan undang-undang.

Seseorang yang hendak berpoligami, perlu mengemukakan satu permohonan kebenaran berpoligami kepada Mahkamah Syariah berdasarkan seksyen 23 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri.

Berdasarkan undang-undang Keluarga Islam, mana-mana pihak yang telah berpoligami tanpa mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah adalah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-dua sekali.

Undang-undang juga menetapkan bahawa mana-mana perkahwinan, sama ada perkahwinan pertama atau perkahwinan poligami, yang jika dilakukan tanpa mendapat kebenaran oleh pihak berkuasa hendaklah didaftarkan di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

Sebelum pendaftaran perkahwinan itu dapat dilakukan, satu permohonan perlulah dikemukakan kepada Mahkamah Syariah bagi menentukan akad nikah yang dikatakan berlawanan dengan undang-undang tersebut adalah sah menurut Hukum Syarak ataupun tidak.

“Jika ianya sah, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan satu perintah untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut.

“Merujuk kepada isu tipuan dalam kes permohonan poligami, ianya boleh berlaku sama ada melalui penipuan atau pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah seperti tandatangan isteri sedia dalam akuan penerimaan dokumen mahkamah ataupun penipuan berkenaan alamat sebenar tempat tinggal pemohon,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button