Berita Utama

Institut pendidikan bawah KPM dibuka ikut takwim 2021

Pembukaan di seluruh negara turut babitkan kawasan PKPB

BANGI, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Semua institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara akan dibuka mengikut takwim 2021, termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pembukaan itu turut membabitkan institut pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengan kementerian sama, termasuk sekolah antarabangsa.

“Takwim ini boleh dirujuk di laman sesawang KPM di www.moe.gov.my/takwim.

“Takwim bagi IPS (institusi pendidikan swasta) pula adalah berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing,” kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa sesi persekolahan akan bermula pada 20 Januari ini.

Muhyiddin berkata, pembukaan bagi institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM bagi sesi 2021 adalah tertakluk kepada kalendar akademik institusi tersebut mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN).

“Bagi yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) pula, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membenarkan pelajar tempatan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac 2021,” katanya.

Mengulas lanjut, KPM berkata, pengoperasian semua institusi pendidikan adalah tertakhluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu.

Malah, pengoperasian itu turut membabitkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu.

“KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi Pendidikan bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan warga institusi Pendidikan terus diutamakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button