Berita Utama

JAIS benarkan akad nikah di masjid, tapi masih bersyarat

Kehadiran individu dari zon merah luar Selangor tak dibenarkan

BANGI, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan majlis akad nikah diadakan di semua masjid Pengurusan Negeri Selangor mulai Isnin ini.

Bagaimanapun, majlis akad nikah yang diadakan perlulah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

JAIS berkata, jumlah maksima majlis akad nikah oleh setiap Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) di masjid setiap hari tidak melebihi lima pasangan.

“Waktu majlis akad nikah hendaklah dari jam 9 pagi hingga 5 petang mengikut giliran yang telah dijadualkan oleh Pendaftar atau PPP.

“Majlis hendaklah dilaksanakan di mana-mana ruang atau bahagian yang bersesuaian di masjid sebagaimana yang diputuskan oleh Pegawai Tadbir Daerah atau Imam Besar.

“Jumlah kehadiran maksima yang dibenarkan bagi setiap pasangan adalah 20 orang sahaja termasuk jurugambar dan tidak termasuk dua orang saksi, Pendaftar dan PPP,” katanya.

JAIS berkata, kehadiran mana-mana individu dalam majlis akad nikah dari zon merah luar Selangor adalah tidak dibenarkan.

Katanya, pindaan lokasi majlis akad nikah dari zon merah luar Selangor ke masjid tidak dibenarkan, namun pasangan boleh bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah dengan kehadiran maksima tiga orang sahaja.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Undang-Undang Keluarga atau Pejabat Agama Islam Daerah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button