Berita Utama

Jakim terima cadangan guna QR Code kesan daging tidak halal

Tambah baik beberapa SOP yang kini dalam kerangka perbincangan

KOTA BHARU, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyambut baik cadangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menggunakan sistem QR Code pada produk import di semua pintu masuk negara bagi mengesan daging tidak halal.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, selama ini memang KPDNHEP yang mengawal selia soal kemasukan daging dari luar negara dan prosedur operasi standard (SOP) pengendaliannya berada di bawah kementerian terbabit.

Beliau berkata, Jakim hanya menyediakan kelulusan terhadap pensijilan halal, bagaimanapun akan menambah baik beberapa SOP yang kini dalam kerangka perbincangan.

“Sistem QR Code ini adalah sebahagian daripada penambahbaikkan SOP yang akan dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada 20 PASTI Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid mencadangkan penggunaan sistem QR Code pada produk import bagi menangani ketirisan di pintu masuk negara dan mengelak masalah seperti kartel daging haram berulang.

Rosol dilaporkan berkata, cadangan itu adalah bagi memudahkan pegawai terlibat mengesan daging atau mana-mana barangan import yang salah, masuk ke dalam negara seperti di lapangan terbang serta pelabuhan, dan menurutnya sistem itu akan dapat mengurangkan bebanan petugas di pintu masuk negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button