Berita UtamaDunia

Liga Arab desak Israel henti serang Gaza

Kutuk pembunuhan orang awam, bimbang keganasan meningkat

KAHERAH, 26 Rabiulawal 1445H, Khamis – Menteri-menteri Luar Liga Arab mendesak serangan penjajah Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza dihentikan serta-merta.

Para menteri mengadakan mesyuarat tergempar di Kaherah bagi membincangkan pengeboman Israel ke atas wilayah Palestin.

Mereka menggesa semua pihak untuk menahan diri dalam resolusi selepas mesyuarat itu.

Ia menimbulkan kebimbangan mengenai bencana kemanusiaan termasuk menggariskan keperluan untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi melancarkan usaha segera mencegah pengembangan keganasan di rantau ini.

Selain itu, para menteri mengutuk tindakan yang bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menegaskan keperluan untuk melindungi dan membebaskan orang awam, banduan dan tahanan.

Tentera Israel melancarkan kempen ketenteraan yang berterusan dan dahsyat terhadap Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan tentera oleh kumpulan pejuang Palestin Hamas di wilayah Israel.

Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa – serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Serangan itu sebagai tindakan balas terhadap penyerbuan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan keganasan peneroka Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Sebagai tindak balas, tentera Israel melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza

Serangan itu diperluaskan lagi kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan di bawah kepungan yang melumpuhkan sejak 2007.

Lebih 2,300 orang terkorban dalam konflik semasa, termasuk sekurang-kurangnya 1,100 rakyat Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button