Berita Utama

Kelonggaran PKP untuk jana ekonomi, bukan aktiviti sosial

Perlu ada strategi baru, bagaimana perlu hidup dengan COVID-19

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Orang ramai seharusnya faham bahawa kelonggaran langkah-langkah kawalan pergerakan ketika pandemik COVID-19 adalah untuk memudahkan kegiatan ekonomi, bukan aktiviti sosial.

Kegagalan untuk memahami hal ini, kata para pakar, boleh membawa hasil yang buruk dan mungkin menyebabkan lonjakan kes yang tidak dapat dikendalikan.

Pakar Epidemiologi dan Biostatistik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman mengatakan bahawa dalam strategi Kementerian Kesihatan untuk menangani wabak itu jangka masa pendek, pertengahan mahupun jangka masa panjang, kepatuhan masyarakat adalah kunci untuk memperbaiki keadaan.

“Saya rasa ada salah faham di kalangan masyarakat mengenai persetujuan pergerakan rentas daerah atau negeri.

“Kelonggaran pergerakan masyarakat lebih menjurus untuk meningkatkan ekonomi, bukan kelulusan untuk mengadakan pertemuan sosial atau keluarga.

“Kita harus memahami bahawa situasi kita tidak sama dengan era pra-COVID. Kita masih berada di zon bahaya wabak. Wabak itu belum berakhir,” katanya.

Beliau seperti dilapor NST berkata, terdapat lebih daripada 23,000 kes aktif, dan rata-rata 2,000 jangkitan baru direkodkan setiap hari.

Katanya, walaupun sistem penjagaan kesihatan dapat menguruskan kes, berdasarkan gaya hidup dan pergerakan orang ramai ketika ini, kes pasti meningkat.

Sementara itu, Bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr N.K.S. Tharmaseelan percaya bahawa ‘keletihan pandemik’ telah berlaku di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa.

“Semua orang letih. Orang ramai letih dan kakitangan kerajaan sudah bekerja melebihi kemampuan,” katanya.

Presiden Persatuan Doktor Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan harus mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang berpusat dan bukannya meletakkan seluruh negara dalam keadaan terkurung lagi.

“Untuk tahun 2021, kerajaan harus memiliki strategi baru dengan objektif yang sangat jelas, seperti bagaimana hidup dengan COVID-19, kerana kita sekarang memiliki cukup pengetahuan dan pengalaman,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button