Berita UtamaDunia

Letupan dewan, majlis perkahwinan bertukar tragedi

Lima wanita maut, tujuh cedera termasuk kanak-kanak

HODEIDA, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Majlis perkahwinan sempena Tahun Baharu bertukar tragedi apabila lima wanita terkorban di wilayah Yaman yang dilanda perang.

Kerajaan dan pasukan pemberontak Houthi saling menyalahkan satu sama lain susulan pengeboman sebuah dewan berdekatan bandar pelabuhan.

Dewan perkahwinan itu berdekatan lapangan terbang Hodeida, garis pemisah di pinggir kota yang dikuasai Houthi.

Letupan itu berlaku hanya dua hari selepas letupan mengorbankan 26 nyawa di lapangan terbang di bandar Aden di selatan ketika rombongan menteri kerajaan turun daripada pesawat.

Wakil kerajaan dalam suruhanjaya bersama ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengawasi genjatan senjata, General Sadek Douid, mengecam serangan di Hodeida, yang turut mencederakan tujuh mangsa termasuk kanak-kanak.

Beliau menyifatkannya sebagai perbuatan jenayah mengerikan yang dilakukan pihak Houthi terhadap orang awam.

Gabenor Hodeida yang dilantik puak Houthi, Mohammed Ayache, ketika temu bual dalam program televisyen Al-Masirah berkata ‘pengganas tidak akan ragu-ragu menuduh orang lain bagi jenayah sendiri’.

Pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi melancarkan serangan pada Jun 2018 bagi merebut kembali Hodeida, pintu masuk utama untuk bantuan kemanusiaan ke Yaman yang dilanda kemiskinan.

Bagaimanapun, gencatan senjata sudah dilaksanakan dengan separa pematuhan sejak Disember tahun itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button