
JOHOR BHARU, 18 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Jumlah mangsa banjir, di Johor terus meningkat, dengan 275 orang di pusat pemindahan banjir pada hari ini berbanding 88 orang, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, terdapat 90 mangsa berasal dari Kampung Laut Batu 10 di Skudai dan 185 orang dari Kampung Sentosa Barat dan Kampung Sentosa Damai di Masai.
“Sehingga jam 8 pagi, dua pusat pemindahan sementara dibuka, terletak di SK Batu 10, Skudai dan Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru.
“Banjir itu disebabkan oleh hujan berterusan selama lebih dari lapan jam yang diperburuk oleh fenomena air pasang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengatakan bahawa hujan berterusan dijangka berlaku di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bharu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga telah mengeluarkan amaran ribut petir untuk Tangkak dan Muar.